Bagaimana mengawal/mengubati stress dengan al-Quran dan Sunnah?

Iktikaf di masjid

Masalah dalam kehidupan manusia ini ada pelbagai sehingga akal kita mungkin tak dapat nak menggambarkan kesemuanya. Manusia mengira bahawa permasalah dalam hidup ini dibuat begitu sahaja?  Sudah pasti tidak. Setiap masalah akan ada penyelesaiannya. Justeru menjadi persoalan kepada kita bagaimana mengawal/mengubati stress dengan al-Quran dan Sunnah?

Allah, Pencipta kita!

Allah, Pencipta kita telah menyebut dalam surah al-Balad ayat 4 yang maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).” Tapi Allah juga menyebut dalam ayat 14 surah al-Mulk yang maksudnya : “Tidakkah Allah yang mencipta sekalian makhluk itu mengetahui segala-galanya?” dan Dia berkata lagi dalam surah al-Isra’ ayat 12 yang maksudnya : “Kami telah menerangkannya satu per satu (dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.” Dan Dia berkata lagi dalam surah al-Nahl ayat 89 yang maksudnya : “..dan Kami turunkan ke atas kamu wahai Muhammad al-Kitab yang menjelaskan setiap sesuatu dan (ia) menjadi petunjuk, rahmat dan berita gembira buat orang-orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah.”

Masalah terbahagi kepada 3 kategori ;

  • (1) yang boleh kita kawal
  • (2) yang kita tak boleh kawal secara langsung tapi kita mungkin boleh mempengaruhinya [selalunya melibatkan orang lain]
  • (3) yang memang di luar kawalan kita.

Ada banyak contoh yang boleh diberikan dan dibincangkan. Saya bagi satu contoh biasa : ibu yang tertekan dan kepenatan. Apa yang boleh dia kawal dan lakukan untuk jadikan keadaan lebih baik? Siapa yang boleh dia pengaruhi untuk bantu dia mengurangkan penat? Apa yang di luar kawalan dia dan dia harus menerimanya walaupun dia tak suka?

Apabila kita nasihatkan ibu yang penat dan stress untuk kembali kepada Allah, bukan bermakna kita suruh dia baca al-Quran 1 hari 1 juzuk dan bangun qiyam solat 11 rakaat serta puasa sunat Isnin dan Khamis.

Iktikaf di masjid

Tapi bagaimana sebenarnya al-Quran dan Sunnah Nabawi boleh ‘merawat’ keadaan ibu ini?

1 – Ibu yang penat atau sesiapa sahaja yang penat ubatnya adalah rehat. Tidak masuk akal orang yang sedang penat, kita suruh dia kerja lagi. Kata Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : Sesungguhnya bagi tubuh badan kamu ada hak yang perlu kamu tunaikan (HR al-Bukhari dan al-Tirmizi). Kita bekerja kerana Allah, kita rehat juga kerana Allah. Supaya pabila tubuh badan kita telah segar dan sihat, kita boleh beramal lagi supaya Allah sentiasa mencintai kita. Cari jalan apa yang boleh dia lakukan untuk mengurangkan penatnya.

2 – Apakah petunjuk Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam kepada puterinya yang mengadu kepenatan melakukan kerja-kerja rumah dan meminta pembantu? Kata Nabi ‘alayhis salaatu was salaam : “Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada pembantu? Engkau bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali, dan bertakbir 34 kali ketika engkau hendak tidur.” (HR Muslim). Bayangkan kita jawab gini pada orang zaman sekarang. Apa jadi agaknya.

Tapi, Subhanallah, Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam hanya suruh zikir sahaja. Ibadah yang mudah dan ringannya untuk dilakukan. Cuma perlukan lisan dan hati yang sedar ketika zikir dilafazkan. Kenapa zikir? Allahu’alam. Untuk seorang ibu yang penat, bagaimana mensucikan Allah dari sebarang kekurangan itu boleh memberi kesan kepada hatinya? Allah itu tidak zalim. Bagaimana memuji Allah atas nikmat-nikmat boleh memberi kesan kepada hatinya? Nikmat suami, nikmat anak, nikmat rumah, nikmat makanan. Bagaimana membesarkan Allah dari segala sesuatu boleh memberikan kesan kepada hatinya? Tepuk dada tanyalah iman.

3 – Antara nasihat yang paling baik saya pernah terima dari kawan baik saya, kata beliau : “Kak Ili, cuba Kak Ili sekali sekala minta masa rehat dari kerja rumah dan anak-anak dan akak datang IKTIKAF di masjid beberapa jam”. Allahuakbar entah kenapa saya tak pernah terfikir untuk ber’me-time’ di masjid. Sedangkan saya memang tahu iktikaf adalah percutian paling baik. Iktikaf 10 malam terakhir Ramadan adalah percutian paling menyenangkan untuk saya; tak perlu masak, tak perlu kemas rumah, tak perlu kemas dapur, tak perlu lipat kain, anak-anak bebas seronok ke sana ke mari dalam masjid yang luas. Ada ramai orang untuk sekali sekala kita minta tolong tengokkan anak sekejap kalau perlu. Ibu pun senang fokus kepada ibadah. Duduk saja dalam masjid pun dah dikira ibadah dengan niat yang betul. Banyaknya barakah subhanallah.

4 – Allah sebut dalam surah al-Hasyr ayat 19 yang maksudnya : “Janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang tidak ingat kepada Allah lalu Dia akan buatkan mereka lupa kepada jiwa-jiwa mereka.” Bila saya baca semula ayat ini dengan lebih teliti, Allah tak kata “jangan jadi seperti mereka yang tidak ingat kepada Allah lalu Allah juga tidak ingat kepada mereka.” Tapi Allah kata “jangan jadi seperti mereka yang lupa kepada Allah lalu Allah BUATKAN MEREKA LUPA KEPADA JIWA—JIWA MEREKA.” Apa maksudnya?

Jika kita tidak ingat kepada Allah, maka Allah akan buat kita lupa terhadap apa yang baik untuk jiwa kita. Jadi para ibu yang penat, self-care yang paling baik adalah kita peruntukkan sedikit masa dalam keadaan tubuh kita telah mendapat rehat yang secukupnya untuk kita ingat kepada Allah. Tak kiralah samada kita pilih untuk iktikaf dan fokus betul-betul dalam tempoh tersebut untuk memperbanyak ibadah atau kita peruntukkan sedikit masa dalam sehari untuk baca dan mentadabbur 1 ayat al-Quran, which to me has a lot more weight than reading 1 juzuk in a day without understanding. Atau apa sahaja bentuk remembrance of Allah. Buat apa yang Allah suka, tinggalkan benda yang Allah tak suka dan tak bermanfaat untuk akhirat. Kerana dengan mengingati Allah, Allah akan buat kita tidak lupa terhadap benda-benda yang memberi kebaikan kepada jiwa kita.

Ini adalah satu contoh sahaja. Inilah maksud saya merawat masalah jasmani mahupun rohani dengan al-Quran dan Sunnah. Ia sesuatu yang praktikal dan menyeluruh. Ia perlu usaha yang berterusan dan masa dan pergantungan kepada Allah. Bukan main selak al-Quran sahaja atau main jampi jampi saja. Kata Allah ‘azza wa jall yang maksudnya : “Al-Quran ini sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu wahai Muhammad, Kitab yang sangat banyak kebaikan padanya, untuk mereka teliti ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang ada pemahaman yang dalam mengambil pengajaran.” (surah Shad ayat 29)

Allahu’alam.

Kredit kepada Penulis :

Ustazah Ili Dalila Mohd Redzwan

Al-Quran & Sunnah , International Islamic University Malaysia

(28 Feb 2018)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


CommentLuv badge